KUALA LUMPUR – Orang ramai disaran supaya memuat turun aplikasi ‘Whoscall’ yang telah ditambah baik bagi mengelakkan diri terdedah kepada jenayah atas talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, aplikasi tersebut mampu mencegah pengguna daripada terpedaya dengan terjalinnya kerjasama Syarikat My Gogo and Look Sdn Bhd, pembangun aplikasi ‘Whoscall’.
“Aplikasi yang wujud sejak 2018 ni ditambah baik di mana nombor-nombor yang pernah digunakan oleh scammer yang ada dalam data PDRM akan terpapar di skrin telefon bimbit dengan nota ‘verified scammer’.
“Kalau dah muncul ‘verified scammer’ tu saya sarankan matikan saja panggilan sebab scammer sentiasa ubah taktik.
“Mereka ni bijak mempengaruhi emosi mangsa. Kita rasa kita dah cukup kuat tapi taktik mereka yang pelbagai, tak mustahil boleh terjerat,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Pelancaran Lagu Anti- Scam dan Kolaborasi Dengan Whoscall anjuran (JSJK) di Maktab PDRM, di sini, pagi ini. – KOSMO! ONLINE