SHAH ALAM – Perbuatan tiga sahabat mengedar dadah jenis heroin dan Monoacetylmorphines dengan berat keseluruhan 585.1gram (g) dalam bangsal lembu, empat tahun lalu memakan diri apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhi hukuman itu terhadap C. Peter Yesudas, 55; V. Kasinathan, 43, dan K. Nagaraj, 57, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Abdul Halim dalam penghakimannya berkata, keterangan tertuduh di kandang saksi didapati lebih bersifat penafian tanpa bukti yang konkrit.
“Mereka juga didapati mempunyai milikan secara langsung dalam proses dadah iaitu dengan mempunyai pengetahuan terhadap dadah dalam bangsal itu.
“Terdapat juga asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh terhadap dadah dirampas di lokasi kejadian selain mempunyai milikan kawalan terhadap dadah dengan dibayar gaji oleh Balaguhan ( seorang lagi yang masih bebas),” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan pembatalan pertuduhan sama terhadap M. Radakrishnan, 52, yang telah meninggal dunia semasa dalam tahanan pada Februari tahun lalu.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, ketiga-tiga bersama-sama dengan S. Balaguhan, 50, yang masih bebas dengan niat bersama telah mengedar dadah jenis heroin dengan berat bersih 432.5g dan Monoacetylmorphines (152.6g).
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bangsal di Jalan Bukit Beruntung, Hulu Selangor dekat sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada 26 November 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Peguam Norman Mohd. Nasir. – KOSMO! ONLINE