fbpx

Flashhskinzz Night Cream, Rissa Skin Moisturiser ada racun berjadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual.

PETALING JAYA – Dua produk kosmetik Malaysia dikesan mengandungi racun berjadual oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini berkata, dua produk berkenaan adalah Flashhskinzz Night Cream dan Rissa Skin Moisturiser.

“Kami menggesa agar orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik tersebut.

“Notifikasi produk-produk kosmetik ini juga telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, produk-produk tersebut yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Jelasnya, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

Sementara itu, Noor Hisham juga berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Noor Hisham turut mengingatkan orang awam untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Katanya, orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Noor Hisham berkata racun Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Selain itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Ujarnya lagi, Betamethasone 17-Valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI