fbpx

Tukang paip didakwa cuba bunuh ahli perniagaan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PING Khoon (baju-t putih) diiring anggota polis ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Jenayah, George Town hari ini. IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Seorang tukang paip didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang ahli perniagaan hingga parah dan tidak sedarkan diri pada 24 Disember lalu.

Tertuduh, Chan Ping Khoon, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sudahpun berkahwin didakwa dengan niat melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 38 tahun di sebuah syarikat pembekal penapis air di daerah Timur Laut, di sini kira-kira pukul 7.22 malam, 24 Disember tahun lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Ping Khoon yang tidak diwakili peguam hanya merayu diberi jaminan terhadapnya berikutan mempunyai banyak tanggungan termasuk isteri dan ibu bapa yang sudah uzur.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memohon agar mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan disebabkan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh ke atas mangsa.

Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan dibenarkan dan mengarahkan supaya tertuduh melantik peguam bagi kes tersebut.

Mahkamah turut menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 30 Disember lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang ahli perniagaan masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas parah pada muka dan mata akibat dipukul dalam kejadian samun.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa berada seorang diri di premis berkenaan sebelum didatangi suspek lelaki terbabit.

Difahamkan, suspek bertindak memukul mangsa dengan menggunakan objek tumpul pada bahagian muka menyebabkan dia mengalami kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI