fbpx

Majikan diberi amaran tidak buat tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awang (tiga dari kiri) melihat kerja-kerja kimpalan oleh pelatih dalam lawatan rasminya ke Kolej Keda di Sik hari ini.

SIK – Kementerian Sumber Manusia memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada majikan yang membuat tuntutan palsu dan salah guna dana Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang bermula 1 Oktober lalu hingga 31 Disember depan.

Timbalan Menterinya, Awang Hashim berkata, kalangan majikan perlu bertanggungjawab dalam mengemukakan permohonan bagi bantuan kerajaan tersebut.

“Kita kesal kerana kira-kira 30 majikan dilaporkan mengambil kesempatan dengan mengemukakan tuntutan palsu sejak permohonan bagi PSU dibuka pada April lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan rasmi di Kolej Keda di sini hari ini.

Kata beliau, program tersebut diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bertujuan untuk membantu majikan yang terkesan daripada segi ekonomi akibat Covid-19.

“PSU ini adalah bagi memastikan majikan dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaaan.

“Justeru, kita berharap hanya majikan yang layak sahaja memohon bantuan di bawah PSU 2.0 ini,” ujarnya.

PSU di bawah Penjana diperkenalkan pada 1 April lalu dengan permohonan dibuka sehingga 30 September lepas sebelum program tersebut dilanjutkan di bawah PSU 2.0 bermula 1 Oktober hingga 31 Disember depan.

Pelaksanaan PSU 2.0 dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, menurut Awang, berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), seramai 87,779 orang hilang pekerjaan dalam tempoh antara Januari lalu hingga 14 Oktober lepas.

“Pada masa sama, seramai 52,851 pekerja telah digajikan melibatkan pengambilan oleh 9,676 majikan dalam Program Insentif Pengambilan Pekerja dari 5 Jun hingga 9 Oktober lalu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI