fbpx

Piala AFF: Malaysia lolos ke separuh akhir, benam Singapura 4-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain negara mempamerkan corak permainan bertenaga untuk menewaskan Singapura sebentar tadi. - Foto oleh AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Pasukan Harimau Malaya menepati ramalan mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2022 selepas menewaskan Singapura 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon kembali menyenaraikan Safawi Rasid dalam kesebelasan utama dibantu oleh Faisal Halim dan Darren Lok di posisi serangan.

Percaturan tersebut dilihat menjadi apabila pasukan negara meneruskan asakan bertali arus ke kubu Sang Singa dengan Faisal memiliki beberapa peluang keemasan untuk meledak gol pembukaan pada 15 minit pertama.

Namun, penjaga gol Singapura, Hassan Sunny dilihat tampil cemerlang dan kebal menjadi kubu negara ‘seberang tambak’ itu daripada dibolosi.

Pertahanan pasukan pelawat akhirnya bocor hasil gerakan menarik yang dilakukan oleh Safawi Rasid berjaya disudahkan oleh Darren Lok menerusi tandukan pada minit ke-35.

Bersambung pada babak kedua, skuad negara meneruskan momentum dengan melebarkan kelebihan hasil sepakan jarak jauh yang dilakukan oleh pemain tengah, Stuart Wilkin pada minit ke-50.

Wilkin yang juga pemain Sabah FC terus mempamerkan ketajaman di hadapan gawang pasukan lawan dengan meledak gol kedua peribadi juga menerusi hantaran Safawi berselang lima minit kemudian.

Singapura meniupkan sisa harapan dengan merapatkan kedudukan hasil rembatan pemain gantian, Faris Ramli pada minit ke-82 untuk menjadikan kedudukan 1-3.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya kekal tenang dan berjaya menambah jaringan keempat menerusi serangan balas pantas yang disudahkan oleh penyerang naturalisasi negara, Sergio Aguero pada penghujung perlawanan sekali gus menceriakan lebih 65,000 penyokong yang hadir.

Keputusan 4-1 kekal sehingga wisel penamat dengan skuad negara sah muncul naib juara Kumpulan B.

Sementara itu, pasukan Vietnam mengesahkan status mereka selaku juara kumpulan selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Myanmar di Stadium My Dinh, Hanoi.

Skuad Harimau Malaya akan berdepan Thailand di peringkat separuh akhir manakala Vietnam akan bertemu Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI