TIDAK hanya cantik dan berbakat, pelakon My Beautiful Bride, Lee Si-young juga hebat dalam aktiviti pendakian apabila berjaya sampai ke puncak gunung tertinggi di Korea Selatan sambil mendukung anaknya.
Momen indah tersebut tercipta semasa hari pertama 2023 apabila berkongsi gambar bersama anaknhya yang berusia empat tahun di puncak Gunung Hallasan.
“Saya tidak percaya dapat mendaki Gunung Hallasan dengan awak (anaknya). Saya hampir mati kerana awak lebih berat daripada yang dijangka.
“Namun, sangat bermakna dan memuaskan. Ketinggian saya mungkin susut sekurang-kurangnya satu sentimeter kerana berat awak sudah mencapai 20 kilogram.
“Kulit saya juga terbakar kerana berada bawah cahaya matahari tetapi saya bersyukur awak ada bersama,” tulis Si-young dalam Instagram.
Sebagai ibu, Si-young awalnya risau untuk membawa anaknya bersama untuk mencipta memori pada hari pertama 2023.
“Mendaki dengan awak di belakang saya tidak akan terjadi seumur hidup. Walau bagaimanapun, saya gembira dapat menghabiskan masa bersama.
“Saya risau kalau awak terlalu sejuk atau tidak mampu menghabiskan pendakian, tetapi kita selamat mendaki tanpa cedera.
“Terima kasih juga kepada sesiapa yang telah membantu kami menjayakan pendakian pada kali ini,” tambahnya.
Hallasan merupakan gunung kedua tertinggi di semenanjung Korea selepas Paektu di Korea Utara.