JAKARTA – Syarikat PI Pertamina menurunkan harga petrol bukan subsidi jenis Pertamax iaitu RON 92 daripada 13,900 rupiah (RM3.92) kepada 12,800 rupiah (RM3.61) seliter mulai semalam, lapor portal berita CNBC Indonesia.
Pengumuman harga baharu itu diumumkan oleh Pengarah Utama Pertamina, Nicke Widyawati pada sidang akhbar yang turut memberitahu, harga minyak Pertamax Turbo atau RON 98 turut turun kepada 14,050 rupiah (RM3.96) berbanding 15,200 rupiah (RM4.29).
Selain petrol, harga diesel Dexlite kini dijual pada 16,150 rupiah (RM4.55) berbanding 18,300 rupiah (RM5.16) sebelum ini, manakala Pertamina Dex juga turun dari 18,000 rupiah (RM5.30) kepada 16,759 rupiah (RM4.72) seliter.
“Sesuai formula yang sudah ditetapkan Kementerian ESDM (Sumber Mineral dan Tenaga), itu semua akan bersamaan turun,” kata Nickie di Stesen Bahan Bakar Pertamina MT Haryono, Tebet, Jakarta Selatan seperti dilaporkan portal berita Tempo.co.
Namun, Pertamina tidak menurunkan harga diesel bersubsidi dan petrol Pertalite kerana Nicke memberitahu bahawa pihak pemerintah telah memberikan subsidi yang besar untuk kedua-dua jenis bahan bakar tersebut.
Pada kebiasaannya, penyesuaian harga minyak bukan subsidi itu dilakukan sekali dalam setiap bulan. – Agensi