BRENTFORD – Thomas Frank tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas menyaksikan skuad kendaliannya, Brentford berjaya menewaskan Liverpool 3-1 pada aksi di Stadium Gtech Komuniti awal pagi semalam.
Lebih manis, mereka berjaya merakam kemenangan berkenaan di hadapan penyokong sendiri selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan setakat ini untuk melonjakkan kedudukan ke tempat ketujuh ketika ini.
“Malam yang sangat luar biasa. Saya tidak mampu untuk menghabiskan kata-kata pujian kepada para pemain, mereka sangat menakjubkan.
“Sikap, kesungguhan, kerja keras dan semangat kebersamaan, semuanya menjadikan kami sebuah pasukan yang baik dan mampu menewaskan Liverpool,” katanya.
Brentford membuka tirai jaringan menerusi gol sendiri Ibrahima Konate yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-10 sebelum mereka menjarakkan kedudukan menerusi Yoane Wissa.
Liverpool cuba merapatkan jurang menerusi Alex Oxlade-Chamberlain kira-kira lima minit selepas waktu rehat, namun Bryan Mbeumo mematikan sisa perjuangan pasukan pelawat menerusi gol ketiga.
“Ia suatu yang ‘gila’. Liverpool adalah sebuah pasukan terbaik di dunia, jika anda mahu menewaskan mereka, anda perlu berada pada tahap 200 peratus. Saya harap para penyokong kami gembira dengan kemenangan ini,” jelas Wissa yang meledak gol kedua.
Musim ini menyaksikan Brentford hanya tewas sekali dalam sembilan aksi di tempat sendiri ketika mereka tumbang menentang Arsenal. – AGENSI