SEOUL – Mulai tahun ini, warga asing yang memperoleh ijazah lanjutan dalam bidang sains dan teknologi di Korea Selatan akan ditawarkan laluan lebih mudah sebagai warganegara atau pemastautin tetap, lapor portal berita Korean Times semalam.
Kementerian kehakiman negara itu mengumumkan Ahad lalu bahawa laluan pantas untuk kewarganegaraan yang dilaksanakan secara percubaan kepada pakar sains dan teknologi sebelum ini akan diperluaskan pada 2023.
Langkah baharu itu membolehkan pemohon yang layak mendapat taraf pemastautin tetap atau kewarganegaraan dalam tempoh tiga tahun berbanding enam tahun sebelum ini.
Di bawah sistem yang baru dilancarkan itu, warga asing yang memperoleh ijazah kedoktoran (PhD) dan sarjana di universiti atau institusi pengajian pengkhususan dalam bidang sains serta teknologi seperti ditetapkan oleh kerajaan, boleh memohon visa F-2.
Mereka akan dibenarkan memohon visa tersebut bersama surat sokongan dekan fakulti masing-masing.
Kerajaan Korea Selatan setakat ini telah menetapkan Institut Sains dan Teknologi Termaju Korea Selatan (KAIST), Institut Sains dan Teknologi Daegu Gyeongbuk (DGIST), Institut Sains dan Teknologi Gwangju (GIST), Institut Sains dan Teknologi Kebangsaan Ulsan (UNIST) dan Universiti Sains dan Teknologi (UST) sebagai institusi yang layak dalam program tersebut.
Selepas mendapatkan visa F-2, warga asing terbabit kemudian boleh memohon visa F-5 yang memberikan taraf pemastautin tetap atau boleh juga memohon untuk mendapatkan taraf naturalisasi khas.
Mereka yang ingin mendapatkan taraf pemastautin tetap harus memenuhi kelayakan tertentu seperti telah tinggal di Korea Selatan selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
Rakyat asing yang memohon kewarganegaraan akan dinilai berdasarkan hasil penyelidikan mereka dan membolehkan golongan itu memegang dua kerakyatan.
Langkah kementerian kehakiman itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan bakat global kekal di Korea Selatan berikutan kekurangan individu berkemahiran tinggi yang semakin ketara.
Tinjauan terbaru mendapati warga asing yang memperoleh ijazah lanjutan memilih meninggalkan Korea Selatan kerana ketiadaan sebarang sistem berkaitan jaminan visa semasa mereka mencari pekerjaan.- Agensi