RIYADH – Bintang baharu Al Nassr, Cristiano Ronaldo boleh meninggalkan gergasi Arab Saudi itu dengan menyertai Newcastle United jika kelab berjaya layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Klausa tersebut dimasukkan dalam kontrak lumayan Ronaldo bersama Al Nassr yang menyaksikan kapten Portugal itu menerima gaji tahunan sebanyak £177 juta (RM938.14 juta).
Difahamkan, ia bagi membolehkan penyerang prolifik berusia 37 tahun itu kembali menikmati saingan Liga Juara-Juara selepas menamatkan kontraknya bersama Manchester United sebelum ini.
Jika sebelum ini ia dianggap mustahil, tetapi kini tidak lagi memandangkan Newcastle berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 34 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.
Menariknya, skuad bimbingan Eddie Howe itu tidak kalah dalam 12 aksi EPL berturut-turut sejak tewas 1-2 kepada Liverpool pada 1 September tahun lalu.
Ia menyaksikan The Magpies berada pada kedudukan tepat untuk kembali ke Liga Juara-Juara selepas kali terakhir beraksi di peringkat kumpulan sewaktu edisi 2002/2003.
Namun, fokus Ronaldo kini sepenuhnya buat Al Nassr selepas tiba di Riyadh semalam dan dijangka turun membuat debut bersama pendahulu Liga Arab Saudi itu menentang Al Ta’ee di Stadium Universiti King Saud malam esok.
Ketua Jurulatih Al Nassr, Rudi Garcia dikatakan sedia memberikan peluang kepada Ronaldo mengetuai jentera serangan sambil dibantu kapten Cameroon, Vincent Aboubakar untuk perlawanan tersebut. – AGENSI