fbpx

V550 milik monarki Brunei bakal dilelong RM1.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Model Aston Martin V550 ini adalah keluaran tahun 1997. – PistonHeads

LONDON – Sebuah kereta Aston Martin yang pernah dimiliki oleh keluarga diraja Brunei akan dijual pada harga dijangka mencecah £240,000 (RM1.2 juta), lapor akhbar The Sun kelmarin.

Model Aston Martin V550 keluaran tahun 1997 itu baru-baru ini menjalani proses pembaikan yang menelan belanja £50,000 (RM265,481).

Laman web jualan kenderaan, PistonHeads berkata, kurang daripada 240 model V550 telah dihasilkan dan kereta itu adalah satu daripada unit yang masih boleh digunakan, manakala jarak pemanduannya sebelum ini hanya 7,193 kilometer (km).

Ketika zaman kegemilangannya, Aston Martin V550 memiliki enjin paling berkuasa daripada mana-mana kereta yang dihasilkan. Kereta itu mempunyai 550 kuasa kuda daripada enjin V8 sesaran 5.3 liter.

Dua pengecas super turut membantu ia mencapai kelajuan sehingga 96 km sejam (km/j) daripada keadaan pegun dalam masa hanya 4.6 saat, seterusnya mencapai had laju maksimum 299 km/j.

“Banyak penambahbaikan telah dilakukan untuk kereta Aston Martin ini termasuk hos serba baharu, tali pinggang, gasket, pengedap cuaca, lampu dan banyak lagi.

“Secara keseluruhannya, mana-mana ciri yang berkaitan dengan cuaca panas (Brunei) telah digantikan,” demikian menurut iklan pada laman web tersebut.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dikenali sebagai gemar mengumpul pelbagai model kereta dengan kebanyakannya didapati daripada dan dimiliki oleh adindanya, Putera Jefri Bolkiah. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI