fbpx

Pakar Britain saran pakai semula pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita memakai pelitup muka ketika berjalan turun ke stesen kereta api bawah tanah di London pada 21 Januari 2022. – AFP

LONDON – Ketua-ketua sektor kesihatan menggesa penduduk Britain kembali memakai pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka atau mereka kekal sahaja di rumah, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Saranan baharu itu dikeluarkan bagi mengawal lonjakan jangkitan ketika virus selesema dan Covid-19 meningkatkan tekanan terhadap hospital-hospital kerajaan yang sudah sedia bergelut dengan pelbagai isu.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) berkata, langkah tersebut dapat membantu meminimumkan penularan Covid-19, selesema dan demam scarlet.

Ketua Penasihat Perubatan, Profesor Susan Hopkins menyarankan orang dewasa agar kekal berada di rumah sekiranya tidak sihat dan mereka yang perlu berada di luar dikehendaki memakai pelitup muka.

“Langkah Ini adalah penting untuk meminimumkan penularan jangkitan di sekolah, institusi pendidikan serta penjagaan kanak-kanak sebaik yang mungkin,” katanya.

Tambah Hopkins, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak hadir ke sekolah sekiranya tidak sihat atau menghidap demam dengan suhu tinggi.

“Jika anak anda tidak sihat dan demam, mereka perlu berada di rumah sehingga kembali sembuh dan demam kebah,” jelas beliau.

UKHSA dalam masa sama, turut menggesa ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka yang layak menerima vaksin selesema.

“Vaksinasi selesema masih boleh didapati untuk semua kumpulan yang layak dan ia adalah perlindungan terbaik bagi melawan virus.

“Kami menerima sambutan menggalakkan bagi vaksin tersebut dalam kalangan golongan lebih berusia namun, permintaan adalah rendah daripada kanak-kanak.

“Vaksinasi dapat melindungi anak-anak anda serta orang di sekeliling mereka dan masih belum terlambat (untuk memberi suntikan vaksinasi),” kata Hopkins.

Saranan itu dikeluarkan selepas seorang pakar kesihatan Ahad lalu memberi amaran bahawa sehingga 500 orang berisiko mati setiap minggu disebabkan kelewatan dalam menerima rawatan di kemudahan-kemudahan milik Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (agensi kerajaan) NHS berikutan krisis selesema musim sejuk.

Keadaan itu diburukkan oleh siri protes oleh pekerja perkhidmatan ambulans dan jururawat yang mencetuskan pelbagai insiden kritikal di jabatan-jabatan kesihatan hospital awam sejak beberapa hari lalu.

“Kami menjangkakan antara 300 hingga 500 pesakit semakin tenat akibat daripada kelewatan dan masalah-masalah di jabatan kecemasan setiap minggu,” kata Presiden Kolej Perubatan Kecemasan Diraja, Dr. Adrian Boyle. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI