fbpx

Walaupun ditampar, anak minta kekalkan Cikgu Hadee – Bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Halim menunjukkan pingat kejohanan dan gambar kejayaan pasukan anaknya mara ke pusingan separuh akhir bola tampar Kejohanan Remaja B-14 di kediamannya di Melekek, Melaka, hari ini. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

ALOR GAJAH – Bapa pemain pasukan bola tampar Wanita Melaka Bawah 14 Tahun (B14), Nur’ Saidatul Akma Abd. Halim yang ditampar oleh jurulatihnya pada Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu berharap jurulatih anaknya itu tidak dikenakan tindakan.

Menurut Abd. Halim Bakar, 50, keluarganya telah mengenali jurulatih itu lebih lima tahun lalu dan percaya tindakan menampar itu bukanlah dengan niat ingin mencederakan, sebaliknya menaikkan semangat anaknya untuk terus berjuang sehingga ke peringkat akhir perlawanan.

Ujarnya, anaknya, Nur’ Saidatul, 14, turut meminta agar jurulatihnya itu, Saiful Hadee Amar dikekalkan kerana lebih mengetahui kemampuan dirinya, malah telah banyak berkorban masa, wang dan tenaga untuk melatih pasukan berkenaan.

“Kami kenal Cikgu Hadee (Saiful Hadee) lebih lima tahun, anak saya Nur’ Saidatul dan kakaknya, Nur’ Syaafiah, 16, kedua-dua mereka ini dilatih bermain bola tampar sejak darjah lima lagi.

“Dari tidak tahu bermain sampailah mereka berjaya ke peringkat negeri, malah Cikgu Hadee inilah yang bersungguh-sungguh mencari tempat latihan sampai ke tanah (berwarna) merah dia bawa asalkan anak-anak murid dapat berlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Melekek, di sini hari ini.

Tambahnya, anak keempat daripada lima beradik itu juga tidak menganggap tindakan jurulatihnya sebagai satu kekasaran sehingga meninggalkan kesan pada emosi atau psikologi pemain.

“Anak kata dia (Hadee) tampar tidak kuat pun, tidak sakit atau membuatkan emosinya terganggu, itu cara seorang jurulatih yang tegas memberikan semangat dan disebabkan itu juga pasukannya berjaya mara ke peringkat separuh akhir di Selangor.

“Bagi saya, ini perkara biasa, kalau tampar sehingga cedera parah sudah tentu saya ambil tindakan sewajarnya tetapi bukan itu yang berlaku dan saya harap netizen dapat hentikan kecaman terhadap Cikgu Hadee,” katanya.

Kata Abd. Halim, justeru dia berharap pihak terlibat yang menjalankan siasatan insiden itu dapat memberikan peluang kepada jurulatih tersebut dan mengambil kira setiap jasa serta bakti telah diberikan dalam sukan bola tampar negeri.

Hari ini akhbar Kosmo! melaporkan nasib jurulatih skuad bola tampar perempuan Melaka Bawah 14 tahun (B14) yang video klipnya tular kerana menampar dua pemain dalam Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu akan diketahui esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, VP. Shanmugam berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan sebelum keputusan untuk menggantung tugas jurulatih itu dimuktamadkan.

Jelasnya, jurulatih itu akan dipanggil bersama-sama dengan dua pemain yang terlibat dalam insiden pada 16 Disember lalu bagi memberi keterangan kepada wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Tampar Melaka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI