KLANG – Kementerian Pendidikan (KPM) telah bertemu dengan ibu bapa kepada dua pelajar yang merupakan pemain bola tampar yang ditampar jurulatihnya sebelum ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya amat prihatin terhadap isu tersebut dan pertemuan tersebut bagi mendapatkan maklum balas berhubung insiden itu.
Katanya, kementerian tidak berkompromi soal keganasan dan berkait rapat isu-isu melibatkan keganasan pelajar.
“Kita sudah jumpa ibu bapa dan dapatkan semua maklum balas termasuk pemegang taruh yang lain.
“Selain itu, bantuan kaunseling turut telah diberikan kepada dua pelajar tersebut oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka,” katanya selepas melawat sesi persekolahan hari pertama di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Jalan Kebun di sini.
Kata Fadhlina, siasatan lanjut berhubung kejadian itu juga sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Tatatertib kementeriannya.
“Kita belum buat apa-apa keputusan lagi (terhadap pelakunya) sebab kita tunggu laporan dari bahagian berkenaan terlebih dahulu,” jelasnya.
Sebelum ini, satu video tular di media sosial berkaitan klip video yang melibatkan jurulatih Pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (Wanita) yang didapati menampar dua orang pemain wanita pasukan tersebut. – KOSMO! ONLINE