KLANG – Keputusan sebarang prosedur operasi standard (SOP) termasuk penutupan sekolah susulan penularan varian baharu Covid-19 adalah bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini KKM belum mengeluarkan sebarang surat pekeliling kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk berbuat demikian.
“Itu antara fokus kita juga tetapi buat masa ini, kita akan bersama dengan KKM dan menurut sahaja apa yang dinasihatkan kementerian itu.
“Sekiranya KKM ada mengeluarkan surat pekeliling untuk berbuat demikian (penutupan sekolah), maka kita akan ikut saranan itu. Keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar menjadi keutamaan kami,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu beliau melakukan lawatan di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun pada hari pertama persekolahan.
Fadhlina berkata demikian bagi mengulas susulan varian baharu Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang telah dikesan berada di Malaysia.
Ketika mengulas mengenai beban guru, Fadhlina memberitahu, tanggungjawab tersebut diberikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang akan diumumkan KPM nanti.
“Antara tumpuan mereka (Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan) adalah beban guru,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE