KLANG – Seorang pemandu lori merayu bantuan orang ramai bagi meringankan bebanan diuntuk menampung perbelanjaan bulanan anak ketujuhnya yang berusia lapan bulan yang disahkan mengalami masalah jantung berlubang (large perimembranous vebticular septal defect) sejak empat bulan lalu.
Zulkifli Othman, 39, berkata, dia dan isteri, Nor Zaizatul Norazla Mohamed Noh, 35, terkejut apabila diberitahu doktor bahawa cahaya mata ketujuh mereka, Muhammad Ezarif Ayash Putra menghidap masalah itu.
“Kos perbelanjaan bulanan bayinya sekitar RM800.
“Setiap kali membuat pemeriksaan dan rawatan di hospital, anggaran caj dikenakan RM200.
“Banyak yang perlu saya usahakan apabila hanya seorang yang bekerja,” katanya di Bukit Kapar, Klang semalam.
Menurutnya, dia yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM2,500 sebulan memaksa dirinya untuk melakukan pelbagai pekerjaan sampingan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Ujarnya, jika diikutkan gaji sebagai pemandu lori memang tak cukup dan kini dia membuat macam-macam kerja.
Bercerita lanjut, Zulkifli memaklumkan, isterinya tidak berdepan sebarang masalah ketika melahirkan anak bongsu mereka pada 5 April lalu.
Bagaimanapun, katanya, empat bulan kemudian, dia mendapati dada anaknya seperti berombak, selain bernafas agak laju sehingga terpaksa ditahan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 30 Ogos hingga 5 Disember lalu untuk rawatan.
“Bayi kami telah menjalani pembedahan pertama pada 7 Disember lalu di Hospital Serdang dan kemudian dirawat di HTAR semula semula pada 20 Disember selama lima hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah serta enam bulan lagi akan jalani pembedahan kedua,” ujarnya.
Tambah Zulkifli, isterinya seorang suri rumah perlu menjaga dan memberi perhatian sepenuhnya pada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada anak kelima dan bongsu (bayi).
Katanya, anak kelimanya, Nur Assyfa Zuhayra, 6, merupakan orang kelainan upaya kategori autisme sejak awal tahun lalu.
Zulkifli bagaimanapun bersyukur apabila Muhammad Ezarif tersenarai di bawah penerima bantuan Kementerian Kesihatan dan kos pembedahan juga mempunyai subsidi kerajaan.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Hong Leong Bank (34900048962) atas nama Zulkifli Othman atau menghubunginya di talian 010-7911824.