ALOR SETAR – Kerajaan diminta supaya bertindak segera bagi memastikan bekalan barangan keperluan termasuk telur dan minyak masak peket mencukupi menjelang Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ketika ini wujud kebimbangan terhadap bekalan bagi dua barangan tersebut yang masih dicari pengguna di negeri ini.
Menurut beliau, walaupun bekalan telur di pasar raya besar kembali pulih, namun bekalan di kedai runcit masih meruncing.
“Pada musim cuti sekolah kali ini, kita dapat melihat permintaan telur yang tinggi, tetapi masih belum mencukupi di negeri ini walaupun kerajaan sudah mengambil langkah membawa masuk telur import.
“Selepas cuti sekolah berakhir, permintaan ke atas telur mungkin menurun, namun permintaan pasti akan meningkat menjelang Tahun Baharu Cina.
“Jadi kita amat berharap agar masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan di Pasar Besar Alor Setar di sini semalam.
Sementara itu, peniaga runcit di pasar tersebut, Milatul Shamsul Mohd. Fauzi, 36, mengakui peniaga masih sukar untuk mendapatkan bekalan kedua-dua barangan tersebut.
Menurut lelaki itu, bekalan diterima juga terhad sehingga menyebabkan bekalan telur dihantar pembekal habis dalam tempoh singkat iaitu tidak sampai sehari.
“Keadaan itu menyebabkan pelanggan terutama peniaga makanan merungut. Jika mereka dapati bekalan telur tiba, pelanggan terutama peniaga makanan biasanya akan membeli dalam jumlah banyak sehingga empat atau lima papan, malah ada juga yang sudah buat tempahan awal.
“Telur dan minyak masak merupakan barangan bersubsidi. Disebabkan itu, saya fikir kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk memastikan bekalannya mencukupi,” katanya.