GEORGE TOWN – Pulau Pinang bersedia melaksanakan protokol-protokol yang ditetapkan Kerajaan Pusat dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kemasukan pelancong dari China ke negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini tiada penerbangan terus dari China ke Pulau Pinang memandangkan ia telah dihentikan sejak pandemik Covid-19 melanda.
”Semua tertakluk kepada perintah Kerajaan Pusat dan KKM, sekiranya ada apa-apa protokol yang perlu dipatuhi kita akan patuh,” katanya di sebuah hotel di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis pelancaran video Pusat Pelancongan Perubatan Pulau Pinang (P. MED) dan majlis menandatangani kerjasama Protokol Pelancongan Perubatan dengan PT Citilink Indonesia.
Terdahulu, China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.
Susulan itu, KKM melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari China bagi memperkukuhkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa (PMA) dalam mengekang penularan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR), seterusnya dihantar untuk penjujukan genom jika dikesan positif Covid-19.
Menurut Kon Yeow, situasi terkini jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang pada masa ini berada dalam trend menurun.
”Laporan harian yang kita terima dalam beberapa minggu ini menunjukkan purata kes harian di Pulau Pinang adalah sekitar 40 hingga 50 kes,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE