PETALING JAYA – Arwaa Food Enterprise (Arwaa Food), pengeluar produk yang popular dan tular di media sosial, Mee Kari Opah berkeyakinan jualan makanan tersebut bertambah kepada dua hingga tiga kali ganda pada tahun ini ekoran permintaan pasaran yang terus bertambah daripada para peminatnya.
Ini dilihat daripada rekod kejayaan syarikat pada pertengahan bulan lalu apabila produk Mee Kari Opah berjaya mencatat jualan sehingga 15,000 kotak dalam masa sejam sahaja melalui platform media sosial.
Mee Kari Opah yang telah dibangunkan melalui kajian dan pembangunan lebih daripada enam bulan itu ditawarkan pada harga RM19.90 sekotak yang mana di dalam kotak tersebut mengandungi lima paket mi.
Pengasas bersama syarikat, Hadi Kaderi berkata, berbanding jualan pada hari biasa, ia adalah sebanyak 1,000 hingga 2,000 kotak sehari.
Menurut beliau, faktor keunikan mi tarik yang dihasilkan dengan campuran kurma, kismis dan saffron itu menjadikannya sebagai makanan sihat serta gabungan kuah kari resipi daripada tradisional keluarga membolehkan ia menjadi pilihan ramai.
“Meskipun ia berkonsepkan makanan segera tetapi rasa enak tekstur mi tarik dan kuah kari yang lemak itu telah berjaya mengatasi menu mi kari jenama lain yang dijual di pasaran.
“Produk ini telah diperkenalkan setahun lalu dan kami terus berusaha untuk menembusi pasaran serta meningkatkan jenama produk agar dapat diterima baik oleh pelanggan.
“Rata-rata pelanggan yang telah mencuba Mee Kari Opah, pasti akan membelinya lagi seterusnya meuar-uarkan kepada rakan-rakan untuk mencuba,” katanya dalam satu sidang akhbar secara online baru-baru ini.
Tiga lagi pengasas bersama syarikat adalah Nizar Hafiz, Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana.
Hadi menerangkan, kejayaan syarikat yang dicapai kini turut dipengaruhi oleh pengukuhan rangkaian pengedarannya yang melibatkan lebih daripada 50 pengedar di seluruh negara.
“Kami terpaksa mengehadkan bilangan pengedar sedia ada sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang setia sejak kami mula mengoperasikan perniagaan ini.
“Tetapi bersandarkan kepada permintaan yang semakin bertambah dan pelan perancangan untuk mengembangkan syarikat, adalah perlu kami membuka tawaran pengambilan pengedar baharu,” jelasnya.
Tambah beliau, seiring penambahan bilangan pengedar itu, syarikat juga bakal memperkenalkan produk baharu berasaskan menu mi tarik pada suku pertama tahun ini. -KOSMO! ONLINE