BUENOS AIRES – Sebuah kotak mengandungi kepala budak lelaki ditemui ketika pemeriksaan rutin bungkusan oleh kastam Argentina dengan ia dialamatkan kepada seorang selebriti di Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Daily Star semalam.
Ketika diimbas semasa transit di Monte Grande, Buenos Aires, pihak berkuasa mengesan terdapat tulang manusia di dalam bungkusan tersebut.
Selepas dibuka, mereka menemui topeng Spider-Man di samping kepala budak lelaki yang dibalut kemas menggunakan kain kasa.
Mayat budak lelaki tersebut dianggarkan berusia antara sembilan hingga 12 tahun dan mungkin telah lama mati sehingga membolehkan mayatnya menjadi mumia.
Syarikat pos, Correo Argentino melaporkan kepala itu dipenggal dengan ‘sempurna’ dengan sisa rambut berwarna merah masih kelihatan.
Kotak itu difahamkan dialamatkan kepada seorang selebriti wanita di AS yang dikenali kerana mengambil bahagian dalam beberapa program realiti televisyen.
Pengirim kotak tersebut juga dikatakan menggunakan identiti palsu.
Pihak berkuasa Argentina kini sedang menyiasat sama ada selebriti berkenaan meminta bungkusan itu dihantar atau ia dikirim tanpa pengetahuannya.
Kepala tersebut pula telah dihantar ke Jabatan Jenayah Fiskal Argentina berikutan campur tangan daripada Mahkamah Jenayah Ekonomi Negara.
Pasukan Antropologi Forensik Argentina dilaporkan telah menjalankan kajian radiologi terhadap penemuan itu bagi mendedahkan asal-usulnya. – Agensi