fbpx

Hilang dua bagasi di Langkawi, Fizi Ali tak halalkan kerugian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIZI ALI

PETALING JAYA – Keseronokan percutian penyampai radio, Fizi Ali di Pulau Langkawi berakhir dengan insiden malang apabila kerugian sekitar RM1,000 selepas dua bagasinya hilang setibanya di jeti Kuala Kedah semalam.

Pemilik nama sebenar Mohd. Hafizudin Alimudin, 33, itu tidak menyangka akan melalui pengalaman kehilangan beg semasa percutian memandangkan pertama kali ke Langkawi dengan menaiki feri.

“Memang saya tidak pernah naik feri untuk ke Langkawi tetapi dilakukan kerana ingin beri lebih pengalaman kepada anak perempuan saya, Ameena.

“Kami tidak tahu bagaimana  sistem feri berfungsi. Barangan juga perlu diletakkan di bahagian hadapan dan belakang.

“Tempat duduk kami di bahagian tengah, jadi semua barangan diletakkan di hadapan dan tidak fikir akan hilang,” ujar penyampai radio HotFM itu ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Berkongsi lanjut, Fizi yan turut bercuti bersama anak perempuannya Ameena, menganggarkan kerugian sekitar RM1,000 dan beg tersebut penuh berisi coklat serta cenderahati untuk diberikan kepada kenalan.

“Saya ingat okey sahaja, tetapi apabila sampai di Kuala Kedah, hanya beg baju yang tinggal.

“Waktu itu pula saya terkejar-kejar untuk jaga Ameena dan mencari dua lagi beg berisi coklat.

“Anggaran kerugian lebih kurang RM1,000 sebab bukan barang saya seorang sahaja. Selebihnya barangan dua orang adik, abang dan ibu juga berada dalam beg tersebut,” luahnya dalam nada kesal.

Nasib bagaimanapun menyebelahi Fizi apabila dihubungi individu yang mengakui terambil sebuah begnya.

“Apabila saya buat InstaStory tentang perkara ini, ada orang mesej menyatakan dia terambil beg kecil saya.

“Beg kecil tersebut masih tidak diserahkan lagi kerana dia tinggal jauh dan saya dapat tahu perkara tersebut setengah jam sebelum tiba di Kuala Lumpur,” katanya.

Selepas insiden tersebut, Fizi juga tidak serik untuk bercuti lagi di Langkawi suatu hari nanti

Dia juga berharap begnya dapat dipulangkan individu terbabit dan kejadian kehilangan tidak menjadi kelaziman bagi pengguna feri.

“Saya tidak serik dengan apa yang terjadi tetapi, lebih kepada melakukan persediaan rapi selepas ini.

“Nasihat saya kepada semua kalau barangan seperti coklat jangan letak di hadapan, biarlah sempit di bawah kaki bahagian tempat duduk.

“Ada yang suruh halalkan. Bukan tidak mahu tetapi, saya takut perkara ini akan menjadi kebiasaan sebab bukan saya sahaja yang terkena kes sebegini,” ujarnya.

Terdahulu, Fizi menuai perhatian ramai apabila meluahkan rasa geram berhubungan kehilangan bagasinya dalam Instagram.

Duda anak satu itu juga tidak akan menghalalkan barangan miliknya yang diambil dengan cara tidak bertanggungjawab oleh mana-mana individu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI