DUNGUN – Seorang peniaga yang diburu sejak enam minggu lalu kerana melakukan ugutan jenayah terhadap anggota polis berjaya ditahan polis hari ini.
Lelaki berusia 53 tahun yang berasal dari bandar ini tersebut ditahan di Bangi, Selangor pada pukul 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek dikatakan melakukan ugutan tersebut pada dua bulan lalu.
“Usaha untuk mengesan lelaki yang berasal dari daerah ini berkenaan sudah dilakukan sejak sebulan lalu. Dia telah direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baharudin berkata, perintah reman itu dibenarkan Majistret Noradila Ab. Latif di Mahkamah Majistret di sini hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.- KOSMO! ONLINE