ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyambut baik keputusan kerajaan negeri menghentikan lesen operasi premis judi dan loteri di negeri ini yang disifatkan mampu mencegah masalah sosial terutama dalam kalangan penduduk beragama Islam.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, keputusan itu bagaimanapun dijangka menyebabkan kegiatan judi haram berleluasa.
Justeru, beliau meminta pihak yang terlibat dengan penguatkuasaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis memberi perhatian serius dalam membendung kegiatan tersebut.
“Cake sambut baik atas penamatan lesen judi dan loteri ini yang diarahkan kerajaan negeri bermula semalam. Kita berbesar hati kerana kegiatan judi ini membawa masalah sosial kepada penduduk.
“Penamatan lesen (judi dan loteri) ini mampu mengurangkan jenayah sosial dalam negeri,” katanya di sini hari ini.
Bermula semalam semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya ekoran keputusan kerajaan negeri tidak membenarkan lagi lesen perniagaan itu diperbaharui. – KOSMO! ONLINE