PETALING JAYA – Pelbagai ragam serta strategi jualan dilakukan para peniaga dalam meraih perhatian pelanggan dan orang ramai.
Menariknya, ada yang menggunakan nama-nama figura terkenal bagi ‘memancing’ pelanggan untuk membeli lebih-lebih lagi melibatkan pelancong asing.
Menerusi perkongsian video oleh Jalal Misai di Twitter baru-baru ini, memaparkan gelagat seorang peniaga Arab yang menyebut nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa nama bekas Perdana Menteri Malaysia yang lain seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ismal Sabri Yaakob ketika gerainya dilawati oleh jemaah Malaysia.
“Anwar Ibrahim! Anwar Ibrahim! Ismail Sabri, Ismail Sabri. Rosmah, Rosmah! Bossku, Bossku!,” laung peniaga Arab tersebut.
Menurut pengguna Twitter itu, dia menyifatkan tindakan peniaga berkenaan seperti rahsia ‘palaris’ jualan.
“Pelaris perniagaan versi peniaga Arab,” ciapnya.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai menganggap cara berniaga tersebut merupakan adab peniaga Arab dalam mendekati jemaah Malaysia.
“Itu cara mereka berbudi, nak orang suka kita, mesti kena kenal negara seseorang itu, cukup sebut nama-nama ahli politik Malaysia, kita dah terhibur, last-last (akhirnya) terbeli tanpa sedar,” ujar Rossnita.
“Masa saya pergi sana untuk tunai umrah, bila Pak Arab sana tahu kita orang Malaysia, terus dia sebut nama Datuk Seri Najib, Tun Mahathir sambil tunjuk isyarat bagus. Jadilah untuk buat kita bangga jadi rakyat Malaysia,” kata Maisarah. – KOSMO! ONLINE