PUTRAJAYA – Tindakan sewajarnya boleh diambil bagi seorang jurulatih yang menampar dua pemain bola tampar seperti yang tular di media sosial ketika ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan terhadap insiden itu bagi tujuan tatatertib.
Menurutnya, KPM memandang serius insiden berkenaan dan satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut.
“KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden tersebut,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) menerusi kenyataan berkata, jurulatih terbabit telah digantung daripada melibatkan diri di dalam semua aktiviti Bola Tampar Kebangsaan sehingga siasatan selesai.
Menurutnya, MAVA telah mengambil langkah untuk menubuhkan satu badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta merta.
Sebelum ini, satu video tular di media sosial berkaitan klip video yang melibatkan jurulatih Pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (Wanita) yang didapati menampar dua orang pemain wanita pasukan tersebut. – KOSMO! ONLINE