BANGKOK – Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menjalankan program yang menawarkan perkhidmatan bas elektrik percuma ke pasar terapung pada hujung minggu bermula semalam, lapor laman berita Thaiger.
Pelan itu diwujudkan untuk menghubungkan laluan pengangkutan awam utama merentasi kota raya Bangkok dengan tarikan pelancong yang berdekatan.
BMA mengumumkan perkhidmatan baharu mesra alam itu yang akan membawa pelancong dari laluan pengangkutan awam ke beberapa tarikan yang sukar diakses.
Bas ke pasar terapung di sekitar Bangkok adalah projek perintis untuk perkhidmatan yang dijangka berkembang.
Ia akan beroperasi pada hujung minggu dan menghapuskan keperluan pelancong untuk berjalan kaki atau mengambil teksi ke tempat-tempat pelancongan.
Orang ramai yang berada di Bangkok boleh mula menggunakan perkhidmatan tersebut semalam dan akan berterusan pada setiap hujung minggu.
Akhbar The Nation of Thailand melaporkan bahawa bas elektrik yang serba lengkap itu mempunyai 20 tempat duduk dan beberapa ciri bermanfaat seperti pengecas telefon dan WiFi percuma.
Ia juga boleh diakses oleh orang kelainan upaya (OKU) dengan laluan untuk kerusi roda.
Bas itu akan beroperasi bermula pukul 9 pagi (waktu tempatan) dan berakhir pada pukul 4.45 petang (waktu tempatan) dengan empat perjalanan setiap hari. – Agensi