MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola masih lagi optimis dengan kemampuan pasukannya untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris biarpun sekadar terikat 1-1 menentang Everton pada aksi di Etihad kelmarin.
Penyerang sensasi City, Erling Haaland terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-24 selepas menyudahkan hantaran lintang rendah daripada Riyad Mahrez sebelum mereka terus menguasai babak pertama, namun gagal menambah jaringan.
Separuh masa kedua menyaksikan Everton melakukan beberapa gerakan berbahaya menerusi serangan balas pantas dan akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi Demarai Gray yang bijak mengelirukan penjaga gol City, Ederson.
Keputusan seri itu menyaksikan City ketinggalan tujuh mata di belakang Arsenal yang berjaya menewaskan Brighton, namun Guardiola masih lagi positif dengan persembahan dipamerkan oleh para pemainnya biarpun kehilangan dua mata berharga.
“Ia adalah aksi yang baik. Kami bermain dengan baik dalam tiga aksi terakhir dan itu membuatkan saya optimis pasukan ini masih berada dalam saingan untuk memburu gelaran.
“Kehilangan dua mata di tempat sendiri memang sesuatu yang sukar diterima, tetapi saya sentiasa cuba untuk memastikan pasukan ini bermain dengan baik dan kami perlu teruskannya.
“Mereka meletakkan lapan pemain di bahagian pertahanan. Dalam situasi ini, kami perlu melakukan gerak pada masa yang tepat dan kami berjaya melakukannya.
“Kami tidak membenarkan mereka melakukan transisi permainan. Mereka berjaya menghasilkan gol yang baik, namun secara keseluruhannya kami telah melakukan tugas dengan baik,” jelasnya. – AGENSI