MONTEVIDEO – Penyerang antarabangsa Uruguay, Luis Suarez melalui satu lagi detik menarik dalam kariernya selepas mengikat kontrak dua tahun bersama kelab Brazil, Gremio.
Walaupun dipalit kekecewaan gagal membantu Uruguay di Piala Dunia Qatar, penyerang berusia 35 tahun itu begitu teruja untuk membina namanya di Brazil selepas mencipta pencapaian agak baik di pentas Eropah.
“Semoga penyokong Gremio bersiap sedia untuk menikmati tempoh dua tahun yang hebat dan saya akan cuba menghadirkan pencapaian kepada kelab ini.
“Saya sedang bersiap sedia untuk menghadapi cabaran di Gremio dan saya begitu teruja untuk menikmati detik ini,” kata Suarez.
Sebelum ini, bekas penyerang Liverpool dan Barcelona itu menyertai kelab idamannya, Nacional pada musim panas lalu dan berjaya menjaringkan lapan gol dalam 14 perlawanan untuk pasukan itu menjuarai Liga Uruguay.
Gremio dalam kenyataannya mengesahkan Suarez akan menyarung jersi kelab itu sehingga Disember 2024.
“Suarez kini milik Gremio. Salah seorang pemain terhebat dalam sejarah bola sepak Uruguay dan kehadirannya adalah untuk meneruskan kejayaan pasukan ini.
“Dia seorang penjaring gol, memenangi banyak kejuaraan dan juga seorang pahlawan sejati,” jelas Gremio. – AGENSI