fbpx

Kilat Boy rangkul emas Pesta Tinju Antarabangsa Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daeloniel (dua,kanan) bersama pingat emas yang dimenangi dalam kejohanan Pesta Tinju Antarabangsa Pulau Pinang, malam semalam. FOTO NUR MAS ERAH AMRAN

GEORGE TOWN – Peninju negara, Daeloniel McDelon Bong berjaya merangkul pingat emas bagi kategori 57 kilogram (kg) dalam Pesta Tinju Antarabangsa Pulau Pinang semalam.

Pemuda berusia 23 tahun yang mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) menundukkan pencabarnya dari Tentera Darat, Jemis Wong Lee Onn di Pesta Pulau Pinang, di sini.

Atlet kelahiran Sri Aman, Sarawak yang mendapat jolokan Kilat Boy itu berkata, beliau menggunakan teknik berbeza kerana Jemis merupakan pesaing yang berpengalaman.

“Walaupun saya mendahalui, saya cuba untuk mengekalkan momentum dan terus fokus dalam ketiga-tiga pusingan.

“Sejujurnya, rasa sedikit letih itu ada kerana saya masih belum sempat berehat selepas SUKMA dan ini adalah perlawanan keempat saya buat minggu ini selain kejohanan kedua pada bulan ini.

“Walau bagaimanapun, saya mungkin akan berehat dalam dua tiga hari sebelum memulakan latihan untuk kejohanan Piala Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 hingga 28 Januari,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Jun lalu, Daeloniel merangkul gelaran juara kategori 57kg pada Kejohanan Tinju Profesional Pakistan 2022 selain turut memenangi pingat emas untuk Sarawak dalam acara tinju kategori feather lelaki 54-57 kilogram (kg) di temasya Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) September lalu.

Penyampaian pingat disempurnakan Presiden Persatuan Tinju Pulau Pinang, Mejar (B) Wan Abdul Hamid Wan Mahmood.

Selain Jemis yang memperoleh pingat perak, wakil MSN, Alif Akmal Muhamad Asri dan wakil Sumatera Utara dari Indonesia, M. Iqbar Rasokismktupang masing-masing membawa pulang pingat gangsa dalam kategori itu.

Kejohanan yang berlangsung bermula 27 Disember lalu hingga semalam itu menyaksikan penyertaan tujuh kategori antara 51 hingga 92 kg membabitkan pasukan dari MSN, Tentera Darat, Hong Kong, Singapura dan Sumatera Utara serta Bali dari Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI