fbpx

Kenangan indah 17 tahun 6ixth Sense

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pada awal penubuhan, nama Adi Priyo Sambodo dipilih sebagai vokalis 6ixth Sense hasil cadangan seorang pemuzik di Indonesia.

KEJAYAAN konsert pertama kumpulan 6ixth Sense menjadi momen sejarah buat peminat yang sememangnya menantikan persembahan sulung mereka secara langsung.

Selepas bergelumang dalam dunia seni selama 17 tahun, akhirnya 6ixth Sense merealisasikan impian hampir 1,700 peminat yang hadir memenuhi ruangan Panggung Asia, Gombak semata-mata untuk mencipta kenangan dengan kumpulan itu.

Konsert 7Belas penuh energetik yang dijayakan oleh enam orang pemuzik benar-benar melakar sejarah buat kumpulan itu dengan mendendangkan 30 buah lagu.

Pada malam tersebut, kumpulan yang pernah menyita umum dengan lagu Tak Bisa Memilihmu itu turut membawakan elemen kejutan dengan penampilan khas iaitu Ary dari kumpulan Klangit.

Kehadiran Ary semasa Konsert 7Belas memeriahkan lagi keadaan dengan sorakan peminat. Ditambah pula dengan dendangan sebuah lagu berjudul Tujuh Kali Malam Minggu yang bergandingan bersama 6ixth Sense.

Ditebak mengenai persiapan sebelum konsert berlangsung, vokalis kumpulan itu, Adi Priyo Sambodo atau Adi menceritakan detik perancangan awal menjayakan Konsert 7Belas.

“Kalau cerita mengenai perjalanan sebelum mengadakan konsert, kami merancang selama lebih sebulan dan melakukan pemilihan lagu bersama-sama.

“Sebenarnya pihak pengurusan minta untuk tambah satu hari lagi untuk adakan konsert dan daripada dua hari ada permintaan untuk tiga hari pula.

“Dari situ, pengarah projek Atas Angin memberikan idea untuk menukar lokasi lebih besar besar untuk memuatkan semua peminat,” ujarnya sebelum memulakan konsert.

Dalam kegembiraan, 6ixth Sense tidak lupa mendedikasikan sebuah persembahan akustik lagu Seteguh Karang buat bekas pengurus, Mujahid Abd. Wahab.

Dedikasi

Mujahid yang meninggal dunia pada 17 Jun lalu merupakan insan bertanggungjawab atas penubuhan 6ixth Sense.

Suasana suram menyelubungi Pangsung Asia saat Adi meminta penonton untuk sama-sama sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham yang sangat dekat dengan mereka.

Tidak cukup dengan suasana sedih, 6ixth Sense turut meninggalkan kesan ‘galau’ buat para peminat setia mereka yang disebit sebagai Deriaku, menerusi seleksi lagu Khatimah Cinta, Tak Bisa Memilihmu, Sebait Hati, Harini & Semalam dan Tanpa.

Setiap bait lirik yang dilontarkan pada malam tersebut juga ‘melekat’ erat dalam sanubari penonton sehingga tidak puas Deriaku melayani perasaan selama dua jam konsert berlangsung.

Penutup Konsert 7Belas 6ixth Sense tempoh hari ternyata benar-benar memuaskan hati. Tidak sabar rasanya menunggu konsert seterusnya daripada kumpulan pop-rock itu pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI