fbpx

Universiti tetapkan waktu pelajar bangun pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEIJING – Sebuah universiti di Shanghai menetapkan satu dasar baharu bahawa semua pelajar ijazah sarjana muda tidak dibenarkan bangun lambat atau mereka bakal berdepan hukuman yang ditetapkan.

Menurut laporan Shanghai Morning Post, semua pelajar ijazah sarjana muda kini tidak dibenarkan untuk tidur selepas pukul 8 pagi (waku tempatan) manakala golongan pelajar sarjana pula diberi tambahan masa tidur selama satu jam iaitu hingga 9 pagi.

Warden asrama akan melakukan pemeriksaan pada setiap masa dan mana-mana pelajar yang ditangkap melakukan ke­salahan itu akan kehilangan lima mata daripada kredit sosial di ­institusi berkenaan.

Universiti tersebut dilaporkan menetapkan dasar tidak boleh bangun lambat bertujuan untuk memastikan semua pelajar tiba ke kelas masing-masing tepat pada masanya serta mahu me­nerapkan nilai disiplin lebih tinggi dalam kalangan penuntutnya.

Setakat ini, nama universiti yang menguatkuasakan dasar baru itu tidak didedahkan.

Bagaimanapun, ramai pihak mendakwa institusi yang dimaksudkan itu ialah Universiti Shanghai, mempunyai kira-kira 20,000 pelajar ijazah sarjana muda dan 16,500 pelajar bidang sarjana.

Selain tidak dibenarkan ba­ngun lambat, pihak pengurusan universiti itu turut melarang mana-mana penuntutnya untuk tidur di bilik pelajar lain. Jika didapati berbuat demikian, 15 mata akan ditolak daripada kredit kelakuan sosial, sekali gus menjejaskan peluang mereka memohon biasiswa.

Berita berkenaan dasar itu mencetuskan kemarahan pelajar yang melihat peraturan itu se­perti kehidupan di penjara.

“Ini universiti atau penjara? Saya tidak bersetuju dengan dasar ini. Tempat belajar sepatutnya lebih bertolak ansur dan tidak membebankan dengan terlalu banyak tuntutan yang memang tidak masuk akal.

“Gaya hidup setiap orang berbeza dan tidak boleh disamakan,” soal seorang pelajar di laman Weibo.

Satu undian online oleh China News Weekly mendapati kira-kira 30,000 daripada 35,000 pelajar mengkritik dasar itu dan menegaskan bahawa setiap pelajar berhak menentukan pukul berapa mereka mahu bangun tidur. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI