NEW DELHI – Beg plastik yang ditebuk lubang boleh digunakan sebagai alat perlindungan diri (PPE) dan alternatif kepada pelindung muka, dakwa sekumpulan doktor di India.
Pakar perubatan di negara itu sudah mencuba pelindung muka buatan sendiri dan boleh bernafas sambil melakukan prosedur. Tiada masalah kabut, lapor akhbar Daily Mail.
Pendekatan itu dibuat susulan kebanyakan negara ada masalah bekalan PPE dan satu penyelesaian diperlukan untuk mengatasinya.
Beberapa doktor di India juga mencuba beberapa kaedah lain termasuk baju hujan dan topi keledar penunggang motosikal sebagai alternatif.
Menurut laporan, doktor di Pusat Perubatan Manian, Tamil Nadu mendedahkan idea beg plastik itu.
Doktor di Jabatan Kecemasan hospital itu, Dr. Subramanian Senthilkumaran berkongsi kisah itu selepas membuat satu kajian membabitkan empat sukarelawan petugas perubatan.
Mereka memakai pelitup muka N95 dan menyarung beg plastik lut cahaya menutup kepala. Terdapat dua lubang berdiamater 3 sentimeter pada plastik di belakang kepala untuk membolehkan mereka bernafas.
Setiap peserta diminta melakukan intubasi trakea cepat sebanyak dua kali ke atas patung, iaitu memasukkan tiub ke dalam trakea melalui hidung atau mulut. Ini bertujuan menguji keberkesanan beg plastik berkenaan.
Semasa prosedur berjalan, doktor membuat ukuran tekanan darah dan tahap oksigen dalam darah untuk memastikan tiada kesan sampingan atau kekurangan oksigen.
Tiada perkara tidak normal dikesan semasa prosedur bertempoh kurang satu minit dan mengesyorkan kaedah beg plastik itu sebagai selamat.
Hasil kerja penyelidikan itu diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Kecemasan. – Agensi