PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo terpaksa beraksi dalam kesakitan pada saingan kelayakan di Grand Prix (GP) Aragon malam tadi selepas terjatuh pada sesi latihan bebas keempat.
Pelumba Perancis itu yang dilihat berjalan terhincut-hincut menahan kesakitan tetap memperagakan tunggangan cemerlang apabila menempah petak pertama di Litar Aragon selepas merekodkan catatan terpantas 1 minit 47.076 saat.
Pelumba Yamaha Monster Energy, Maverick Vinales yang terlebih dahulu melakukan catatan masa terpantas terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua selepas dipintas oleh Quartararo pada saat-saat akhir.
“Saya gembira kerana dapat teruskan saingan pada hari ini (semalam). Dua kali berturut-turut terjatuh pada sesi latihan sedikit merisaukan tetapi saya dapat melakukan yang terbaik untuk memulakan saingan di petak pertama sekali lagi.
“Terima kasih kepada pasukan yang menyediakan jentera terbaik sepanjang minggu ini dan saya harap dapat melakukan yang lebih baik pada perlumbaan sebenar esok,” katanya semalam.
Pelumba LCR Honda, Cal Crutchlow tampil cemerlang di Aragon apabila melakukan catatan masa ketiga terpantas dan akan memulakan saingan di barisan hadapan di Aragon.
Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli memulakan perlumbaan di petak keempat. – AGENSI