fbpx

KPKT bincang masalah projek ‘sakit’, tidak terjual di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKMAL NASRULLAH menyampaikan sumbangan banjir kepada Kamis Sirat sempena majlis Serahan Bantuan Bencana Banjir di Balai Raya Jalan Hujung Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru hari ini. -Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan perbincangan dengan Exco Kerajaan Negeri Johor bagi membincangkan secara terperinci mengenai isu projek sakit serta rumah tidak terjual di negeri ini.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkara tersebut turut dibincangkan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan rasminya ke Johor semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor pada awal bulan depan di Putrajaya.

“Semalam ketika Perdana Menteri turun ke Johor, Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) ada menyentuh isu ini dan meminta Mohd. Jafni untuk datang berbincang dengan KPKT mengenai isu projek sakit dan rumah tidak terjual ini.

“Bagi saya, ini peluang untuk mengurangkan bebanan isu perumahan di negeri ini dengan menyelaraskan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program serahan bantuan bencana (banjir) di Balai, Raya Jalan Hujung di sini hari ini.

Pada awal bulan lalu, Mohd. Jafni dilaporkan berkata, terdapat sebanyak 17 projek sakit dan tujuh projek terbengkalai telah dikenal pasti oleh KPKT di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudahcara membantu pelikuidasi dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.

Mohd. Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, projek sakit yang bakal diselesaikan pada awal tahun hadapan melibatkan 625 unit di Taman Residensi Kota Tinggi yang dimajukan oleh pihak PR1MA.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI