fbpx

PTPTN kekal komited martabat sektor pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa menyokong usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara dengan melaksanakan pelbagai  insentif dan inisiatif program berimpak tinggi.

Sehingga 30 November 2022, PTPTN telah membantu seramai 3.77 juta pelajar untuk melanjutkan pengajian  ke institusi pengajian tinggi dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM68.23 bilion.

PTPTN turut membantu pelajar baharu membuat persediaan awal untuk mendaftar masuk ke IPTA dan Politeknik melalui pemberian Wang Pendahuluan  Pinjaman (WPP).

Sejak 1999 hingga November 2022, seramai 960,882 pelajar menerima manfaat itu dengan peruntukan berjumlah RM1.42 bilion.

Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff, berkata, kerajaan turut prihatin dalam mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar di IPTA dan IPTS melalui insentif pengecualian bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

“Ia terus dilaksanakan pada tahun 2022 dan ditambah baik berbanding sebelumnya, hanya terhad kepada peminjam daripada golongan B40 dan M40 sahaja.

“Sehingga 30 November, seramai 90,485 orang peminjam telah diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman, melibatkan pelupusan pinjaman sebanyak RM2.32 bilion,” katanya.

Selain itu katanya, bagi mengurangkan kebergantungan pelajar kepada pinjaman pendidikan seterusnya mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman, PTPTN menyediakan instrumen simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi yang dikenali sebagai Simpan SSPN.

“Sejak diperkenalkan tahun 2004 hingga November 2022, jumlah simpanan yang diterima adalah sebanyak RM13.38 bilion dengan bilangan akaun baharu berjumlah 5.68 juta manakala bagi tempoh 1 hingga 30 November, sebanyak 433,774 akaun baharu Simpan SSPN telah dibuka dengan jumlah keseluruhan simpanan diterima sebanyak RM2.5 bilion.

“Selaras dengan era pendigitalan pula, PTPTN melancarkan mobile app iaitu myPTPTN untuk menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Kemudahan ini akan memanfaatkan 3.77 juta peminjam dan 5.68 juta pendeposit Simpan SSPN selain memperkenalkan Kelab Simpanan Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Dalam masa sama, Dr. Apli berkata, PTPTN turut melaksanakan pelbagai program outreach bagi mendekati para pelajar untuk terus sebar dan tingkatkan imej positif.

Antara program yang dianjurkan ialah Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya (FLICK), antara komitmen PTPTN dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin turut diadakan untuk bantu pelajar yang kurang berkemampuan. Setiap pelajar yang layak menerima bantuan sebanyak RM500.00 secara one off dan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.

“Melalui program ini, PTPTN telah memperuntuk sebanyak RM142,000 kepada 284 pelajar IPT seluruh negara yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan yang kurang berkemampuan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPT terlibat,” katanya.

Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 pula bertujuan untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan serta galakan awal memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

“Program ini melibatkan sumbangan zakat PTPTN kepada 17,800 orang pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan pemimpin setempat melibatkan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta,” katanya.

Tambahnya, PTPTN telah menyusun beberapa inisiatif lain yang lebih berimpak tinggi untuk tahun 2023,  sebagai lanjutan usaha PTPTN membantu masyarakat dari pelbagai aspek terutamanya pendidikan.

“Antaranya dengan meneroka kaedah alternatif bersesuaian sebagai sumber pembiayaan terutama kepada golongan yang memerlukan.

“PTPTN juga komited memastikan generasi akan datang dapat menikmati bantuan pembiayaan PTPTN dengan melaksanakan pelbagai strategi memperkasakan bayaran balik pinjaman di kalangan peminjam PTPTN,” katanya.

Selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 katanya, PTPTN juga mempunyai perancangan untuk tempoh lima tahun melalui Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 yang berpaksikan lima Teras Strategik yang telah dikenalpasti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI