RAWANG – 30 individu berdepan detik cemas selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabas dan terbalik berhampiran Plaza Tol Rawang arah selatan, dekat sini, awal pagi tadi.
Kejadian tersebut turut mengakibatkan penumpang seorang wanita warga emas Thailand berusia 65 tahun cedera di kepala dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera bahagian kaki kanan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 1.46 pagi.
Katanya ,seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi.
“Kejadian di lokasi adalah kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya iaitu kira-kira 500 meter dari plaza tol berkenaan.
“Bas tersebut membawa 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak perempuan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Norazam, kemalangan itu menyebabkan seorang wanita warga emas Thailand berusia 65 tahun cedera di kepala.
“Dalam pada itu, seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia juga cedera di bahagian kaki kanan,” katanya.
Difahamkan, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan punca kejadian masih di dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE