KOTA KINABALU – Seorang lelaki yang melakukan aktiviti luncur udara atau paragliding maut selepas terhempas pada cerun konkrit dalam kejadian berdekatan kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo Kampung Keliangau, Manggatal petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang berusia 26 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa membawa seorang penumpang meluncur udara menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol, Manggatal dan berjaya mendarat dengan selamat.
Bagaimanapun, sejurus menurunkan penumpang, tali payung luncur udara yang belum ditanggalkan daripada badan secara tiba-tiba ditiup angin kuat sehingga mengakibatkan mangsa terbang sebelum tubuhnya terhempas ke cerun konkrit.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan masih dijalankan
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut. Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.-KOSMO! ONLINE