MANCHESTER – Manchester United berdepan tekanan tinggi menjelang aksi menentang Wolverhampton Wanderers pada saingan Liga Perdana Inggeris malam ini ekoran kecederaan yang dialami beberapa pemain tonggak mereka.
Menjelang aksi yang bakal berlangsung di Stadium Molineux itu, skuad kendalian Erik Ten Hag perlu turun dengan barisan pemain yang sempurna untuk meneruskan momentum kemenangan selepas mereka berjaya menundukkan Nottingham Forest sebelum ini.
Bagaimanapun, mereka tidak boleh memandang mudah keupayaan skuad kendalian Julien Lopetegui itu yang mencatat kemenangan dramatik menerusi gol minit-minit terakhir perlawanan menerusi Rayan Ait-Nouri ketika menewaskan Everton 2-1 Isnin lalu.
Kemenangan amat penting buat United pada perlawanan itu nanti kerana ia membuka peluang buat mereka memintas kedudukan Tottenham Hotspur dengan melonjakkan kedudukan ke tangga empat sekali gus merapati Newcastle United.
Aksi menentang Forest sebelum ini menyaksikan Luke Shaw terpaksa beraksi sebagai pemain pertahanan tengah, namun kehadiran Harry Maguire yang sudah cergas sepenuhnya memberikan sedikit kelegaan.
Namun, seorang lagi pemain pertahanan, Victor Lindelof dilaporkan masih ragu-ragu untuk diturunkan ekoran masalah demam, selain Lisandro Martinez yang masih belum pulang daripada bercuti meraikan kemenangan Argentina di Piala Dunia.
Ten Hag juga sedang memantau perkembangan pemain tengah, Scott McTominay yang juga berdepan isu kecergasan, selain Diogo Dalot yang belum pulih daripada kecederaan hamstring.
Beberapa lagi pemain yang masih belum pasti dapat diturunkan pada perlawanan berkenaan adalah Jadon Sancho serta Axel Tuanzebe. – AGENSI