fbpx

K2

Perimeter 2022: Kes tuduhan seksual empat agamawan, penderaan Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri: Ustaz Fathi Na'im, PU Azman dan Ebit masing-masing didakwa atas tuduhan berkaitan seksual pada tahun ini, manakala Da'i Syed (kanan) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan seksual yang pernah dihadapkan kepadanya pada dua tahun lalu.

Pada 2022, mahkamah bukan sahaja menjadi tumpuan dengan kehadiran pemimpin negara, malah pendakwah terkenal turut didakwa. Mereka ialah Ebit Lew, Pencetus Ummah (PU) Azman dan Ustaz Fathi Na’im.

Ebit didakwa atas 11 tuduhan kes gangguan seksual pada 18 Februari lalu. Pemilik nama Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan kes sedang dibicarakan di Mahkamah Litar Tenom, Sabah.

Pada 12 Oktober lalu, PU Azman pula didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun. Dua bulan kemudian, pada 7 Disember, Azman, 41, didakwa lagi atas tiga pertuduhan sama dan satu kes kelucahan melampau ke atas tiga remaja lelaki di Klang.

Pada 29 November, Ustaz Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Klang atas tujuh pertuduhan merogol dan satu tuduhan amang seksual serta melakukan hubungan seks menggunakan objek ke atas mangsa berusia 14 tahun.

Tertuduh yang mempunyai tiga isteri dan lapan anak berdepan hukuman jel sehingga 190 tahun jika didapati bersalah. Dia juga didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur kerana merogol mangsa sama.

Nasib berbeza bagi Da’i Syed apabila dia yang pernah didakwa pada tahun 2020 dilepas dan dibebas (DNA) atas tuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas pelajar kolej swasta pada 31 Mei lalu.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguamnya. Mahkamah telah menetapkan tarikh sebanyak 13 kali termasuk sebutan kes, namun pengadu menarik balik laporan pada Disember 2021.

Misteri kehilangan Zalina Azman

Kehilangan seorang bekas pembaca berita sebuah televisyen swasta, Zalina Shaharah Azman, 57, sejak November tahun lalu masih menjadi teka-teki selepas wanita berkenaan yang tinggal di Seksyen 3, Shah Alam belum ditemui sehingga kini.

Zalina yang terkenal sebagai pembaca berita program Money Matters selain mengacara beberapa rancangan popular sekitar tahun 90-an dan awal 2000 dilaporkan hilang oleh anak lelaki berusia 33 tahun pada 29 November tahun lalu.

Malaysia dikejutkan pada 18 Julai lalu apabila media melaporkan pihak polis giat mencari Zalina yang dipercayai masih hidup, sekali gus hal itu dihebahkan kepada umum.

SITI BAINUN dituduh mengabai dan menganiaya Bella.

Siti Bainun diarah bela diri

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 November lalu mengarahkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, membela diri atas tuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga menyebabkan mangsa cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Wanita itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Altantuya: Kerajaan Malaysia diarah bayar ganti rugi RM5 juta

keluarga mendiang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu (gambar) menang dalam saman kematian wanita itu apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Disember lalu memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia membayar RM5 juta sebagai ganti am dan teladan.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera mendapati pihak plantif berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif.

Media sebelum ini melaporkan bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga telah memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.

Azi diculik pada 13 September lalu.

Kes penculikan ejen kosmetik

Seorang ejen kosmetik dikenali sebagai Azi pernah menggemparkan negara apabila diselamatkan selepas diculik sekumpulan lelaki menaiki kereta Toyota Vios ketika berada di rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat pada 13 September lalu.

Azi, 36, kemudian dibawa ke Selatan Thailand, namun dengan tindakan pantas Polis Diraja Malaysia dan Polis Thailand wanita itu ditemui selamat dan berjaya dibawa pulang ke negara ini dua minggu kemudian.

Rentetan kejadian, seorang peniaga, Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas tuduhan menculik Azi.

Tujuh tahun jadikan anak hamba seks, lelaki dijel 426 tahun, 240 sebatan

Tindakan seorang lelaki menjadikan dua anak kandungnya sebagai hamba seks selama tujuh tahun berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 426 tahun dan 240 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada 20 September lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 56 tahun yang mengaku bersalah atas 28 pertuduhan membabitkan kesalahan rogol, seks luar tabii dan amang seksual fizikal.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah melakukan perbuatan itu di kediamannya selepas kedua-dua mangsa mencecah usia 12 tahun. Tertuduh turut berani lakukan perbuatan itu ketika isterinya berada di rumah.

Hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dan berperingkat, menjadikan hukuman penjara dijalani 45 tahun dan maksimum 24 sebatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI