PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 bertempat di Masjid Putra, di sini esok.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, program itu diperkenalkan susulan keputusan kerajaan membatalkan acara sambutan ambang tahun baharu 2023.
Beliau berkata, ia juga dilaksanakan bagi menghormati keadaan beberapa negeri yang dilanda musibah banjir baru-baru ini.
“Program yang akan bermula jam 6.30 petang esok akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri beragama Islam.
“Pada program sama, Perdana Menteri akan menyampaikan amanat khas sempena tahun baharu 2023 yang turut disiarkan secara langsung menerusi RTM,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, Jakim turut menjemput seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk hadir beramai-ramai bermunajat dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara serta seluruh lapisan masyarakat agar sentiasa dirahmati Allah SWT.-KOSMO! ONLINE