31 korban tanah runtuh Batang Kali
KEJADIAN tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands di Hulu Selangor, Selangor merupakan tragedi terburuk melanda negara tahun ini.
Kejadian dahsyat pada awal pagi 16 Disember itu mengorbankan 31 nyawa yang mengikuti perkhemahan di Father’s Organic Farm.
Dianggarkan terdapat 94 orang terlibat dalam kejadian.
Ramai mangsa adalah guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong, Kuala Lumpur dan ahli keluarga mereka.
Pasukan anggota keselamatan berusaha mencari mangsa-mangsa yang tertanam dek tanah selama kira-kira seminggu dengan mayat ke-31 iaitu terakhir, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun,
Eng Shao Qi ditemui pada pukul 4.50 petang, 24 Disember.
Siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s
Organic Farm.
Anggaran dimensi kegagalan cerun adalah 70 meter (m) (ketinggian), 120m (lebar) dan 330m (panjang) dengan anggaran isipadu tanah runtuhan 450,000 meter padu. Mod kegagalan adalah kombinasi retrogressive translational dan aliran puing.
Lima pemuda maut dalam kemalangan
Suasana hujung minggu di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, Gelugor, Pulau Pinang bertukar kecoh apabila sekumpulan penunggang motosikal terlibat kemalangan pada 17 Julai lalu.
Kejadian awal pagi itu mengorbankan lima lelaki.
Mangsa terkorban dalam kejadian ialah Muhamad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22, Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17, dan Mohd. Haziq Harris, 34.
Nahas Gerik lima sekeluarga dijemput ajal
Kemalangan maut pada 23 Julai lalu di Kilometer 62 berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli mengorbankan lima beranak.
Mangsa merupakan pasangan suami isteri, anak perempuan mereka, menantu serta cucu perempuan.
Dalam kejadian itu, sebuah Toyota Hilux hilang kawalan dan bertembung dengan Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga.
Tragedi di Baling ragut tiga nyawa
Tidak sampai setahun kejadian fenomena kepala air yang mengorbankan enam nyawa di Gunung Jerai, bumi Kedah sekali lagi diuji tragedi sama di Baling pada 5 Julai lalu. Dalam kejadian itu, lebih 1,500 penduduk mukim Kupang terkesan selepas arus deras dipercayai dari kaki Gunung Inas membawa bersama serpihan batu dan kayu.
Lebih menyedihkan, tiga sekeluarga dihanyutkan arus dan mayat mereka ditemui di bawah timbunan pokok.
Mereka ialah Salmah Mat Akib, 53, menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 28, dan anak bongsu Salmah, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.
Banjir musim tengkujuh, tiga beradik maut renjatan elektrik
MUSIM tengkujuh tahun ini memperlihatkan beberapa negeri terjejas terutama di negeri-negeri Pantai Timur akibat hujan yang berterusan.
Pada 20 Disember lalu, media melaporkan seramai 56,159 mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan di lima negeri. Terengganu mencatatkan angka mangsa banjir tertinggi terutama di Kemaman.
Tahun ini, musibah banjir juga melaporkan beberapa insiden meragut nyawa termasuk pada 19 Disember lalu apabila tiga beradik perempuan di Tumpat, Kelantan maut, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah jiran mereka yang dilanda banjir.
Kesemua mangsa berusia di antara 20 hingga 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi.