ISU kesihatan mental sememangnya cukup banyak dibahaskan kini, memandangkan orang ramai sudah mulai sedar mengenai kepentingan memelihara kesihatan mental dan juga fizikal dalam menjalani kehidupan yang sejahtera.
Jika dilihat, media sosial kini cukup banyak memaparkan perkongsian video yang menjelaskan jenis-jenis masalah mental dan bagaimana mahu mengesannya.
Namun, video yang dimuat naik atas tujuan memupuk kesedaran itu ada kalanya diambil sepenuhnya tanpa ditapis isi kandungan menyebabkan ramai yang mungkin mula was-was terhadap status kesihatan mereka dan mula mendiagnos diri sendiri menghidap penyakit mental.
Hakikatnya, penyakit mental hanya boleh didiagnos oleh doktor melalui penilaian melibatkan beberapa faktor seperti gejala yang berlaku dengan ketara sehingga mengganggu fungsi kehidupan, sejarah penyakit, pemeriksaan fizikal dan juga pemeriksaan status mental.
Menurut Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Kuantan, Dr. Rozanizam Zakaria, pencemaran info kesihatan mental di media sosial ini mewujudkan ramai ‘penunggang penyakit mental’.
“Sebagai contoh, sebuah video berdurasi 10 saat menunjukkan seseorang yang sedang menggoyang-goyangkan kakinya.
“Individu itu kemudiannya dilabel mempunyai masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau gejala hiperaktif.
“Ia seterusnya menyebabkan penonton video itu yang mungkin mempunyai tabiat suka menggoyangkan kaki terpedaya, lalu menganggap dirinya atau mula mendiagnosis diri sebagai penghidap ADHD,” jelasnya.
Rozanizam menambah, pencemaran maklumat itu juga boleh menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap orang yang betul-betul menghidap masalah mental.
“Pada saya, tindakan berkongsi atau menyebarkan maklumat berkenaan penyakit mental ini sesuatu yang bagus.
“Namun, sebelum berbuat demikian, kita perlu membuat saringan atau tapisan dengan hanya memilih maklumat sahih.
“Jika tidak, kesedaran yang dibuat untuk menghapus stigma itu tadi sebaliknya bertukar menjadi stigma 2.0,” ujarnya.
Lambakan video yang kurang tepat di media sosial merupakan sesuatu yang tidak boleh dibendung lagi.
Oleh itu, sebagai pengguna media sosial, kita sendiri seharusnya bijak menilai sesuatu maklumat kerana bukan semua yang dipaparkan di media sosial itu tepat, lebih-lebih lagi membabitkan sesuatu yang kompleks seperti tahap kesihatan seseorang.