fbpx

Jet AS, China hampir berlanggar di Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan pesawat peninjau RC-135 milik Tentera Udara AS berlepas dari sebuah lapanga terbang. -- AFP

WASHINGTON – Sebuah jet pejuang China terbang secara berbahaya pada jarak 6 meter daripada sebuah pesawat pemerhati Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan, kata tentera AS kelmarin.

Dalam insiden pada 21 Disember lalu, seorang juruterbang jet J-11 milik China melakukan aksi tidak selamat semasa memintas pesawat Tentera Udara AS, Boeing RC-135, kata Pusat Perintah Indo-Pasifik AS dalam satu kenyataan.

“Juruterbang China itu terbang pada jarak 6 meter di hadapan hidung pesawat AS sekali gus memaksa RC-135 melakukan pergerakan mengejut untuk mengelak pelanggaran.

“Ketika kejadian, pesawat RC-135 sedang melakukan operasi rutin berlandaskan undang-undang di ruang udara antarabangsa di Laut China Selatan,” katanya.

Insiden berlaku ketika China meningkatkan kerahan kumpulan besar pesawat tempur dan pengebom ke Laut China Selatan menghala ke Taiwan sebagai pameran kekuatan selepas Beijing mengukuhkan tuntutan kedaulatannya ke atas Taipei.

Pada hujung minggu lalu, China menerbangkan 71 pesawat perang termasuk berpuluh-puluh jet pejuang dalam beberapa latihan tentera di sekitar Taiwan. Ia merupakan antara tindakan ketenteraan terbesar sejak Beijing mula mengerahkan pesawat tentera ke dalam zon identifikasi pertahanan udara Taiwan.

Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) berkata, pihaknya melakukan ‘latihan menyerang’ pada Ahad lalu sebagai tindak balas kepada provokasi dan kerjasama yang tidak dinyatakan antara Amerika Syarikat dengan Taiwan.

Menurut pangkalan data AFP, terdapat lebih 1,700 pencerobohan serupa sepanjang tahun ini berbanding 969 dalam tahun 2021. Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan, pihaknya merekodkan sekitar 380 pencerobohan sedemikian pada 2020. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI