Oleh NOOR HASLIZA NUSI
Demi keluarga tercinta, gadis kacukan Melayu-Thailand, Nadiah Mohd. Azmi, 25, sanggup berhenti kerja sebagai pramugari Malaysia Airlines (MAS) walaupun mengakui belum puas terbang ke awam biru.
Nadiah yang berasal dari Pulau Pinang itu berbuat demikian untuk berada dekat dengan bapanya yang menderita sakit tulang belakang.
Oleh kerana keadaan hidupnya telah berubah 360 darjah, Nadiah memilih untuk mengusahakan sebuah restoran tomyam di Tanjung Bungah, Pulau Pinang sejak Ogos lalu ketika dunia dilanda penularan pandemik Covid-19.
Ikuti temu bual Kosmo! Ahad dengan bekas graduan London Chamber of Commerce & Industry (LCCI) di Kolej MSU itu.
Kosmo! Ahad: Bagaimana anda boleh menjadi pramugari?
Nadiah: Pada mulanya saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pramugari. Niat bekerja semata-mata demi keluarga namun saya telah jatuh cinta dengan hospitaliti MAS.
Apa pengalaman yang tidak dapat dilupakan?
Semasa penerbangan dari Australia ke Malaysia, saya bertemu dengan seorang penumpang yang sedang menangis.
Dia memaklumkan bapanya telah meninggal dunia dan perlu bergegas pulang. Pada saat itu, saya mula hilang tumpuan dengan memikirkan keadaan bapa saya, Mohd. Azmi Elias, 61, yang sedang kritikal akibat masalah tulang belakang dan dirawat di hospital.
Kenapa berhenti?
Keputusan dibuat demi mendekatkan diri dengan keluarga sekali gus bagi memastikan bapa saya sembuh sepenuhnya di depan mata.
Apa perasaan ketika itu?
Saya telah meletakkan jawatan dengan memberi notis 24 jam walaupun masih dalam kontrak. Perasaan saya ketika itu hanya memikirkan keluarga yang tercinta. Saya tidak sedih dan tidak gembira, hanya berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan yang dibuat.
Apakah kerjaya yang dilakukan sepanjang PKP?
Saya memulakan perniagaan makanan secara online. Produk yang dilancarkan ketika itu adalah sos Thai dan pes tomyam.
Kenapa pilih mengusahakan perniagaan restoran makanan Thailand?
Keghairahan di dalam bidang masakan membuatkan saya menceburi bidang ini dengan mempelajari teknik masakan ala Thai secara lebih mendalam daripada ibu, Bang On Elias, 51, yang berasal daripada Chiang Rai, Thailand.
Apa cabaran berniaga ketika pandemik?
Jujur saya katakan, ini adalah cabaran yang hebat yang saya tempuhi ketika ini tetapi saya memberanikan diri demi ibu bapa dan atas kepercayaan mereka terhadap diri saya.
Apa beza suasana bekerja dahulu dan kini?
Di atas awan, saya sentiasa berada dalam keadaan kemas dan rapi. Tetapi sekarang, sayalah peniaga dan sayalah juga tukang masak. Keadaan sudah berubah 360 darjah di mana keterampilan diri bukan lagi menjadi keutamaan.
Apa pengalaman yang ingin dikongsi?
Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu walaupun tidak cukup ilmu kerana ilmu boleh dipelajari.
Apakah impian lain yang mahu dicapai?
Memiliki produk penjagaan wajah bertaraf antarabangsa, suplemen kesihatan dan pes tomyam.