WASHINGTON – Presiden Joe Biden kelmarin menandatangani rang undang-undang (RUU) perbelanjaan berjumlah AS$1.7 trillion (RM7.51 trilion) yang akan terus membiayai kerajaan Amerika Syarikat (AS) sepanjang tahun fiskal hadapan termasuk satu lagi pakej besar-besaran bagi membantu perang di Ukraine.
Biden yang bercuti Tahun Baharu di Saint Croix, Kepulauan Virgin milik AS, menyiarkan gambar beliau menandatangani RUU tersebut menjadi undang-undang, di laman Twitter.
“RUU ini akan membiayai aspek penyelidikan, keselamatan, penjagaan kesihatan veteran, pemulihan bencana dan dana untuk program memerangi keganasan terhadap wanita. Ia juga memberi bantuan penting kepada Ukraine. Mengharapkan lebih banyak lagi dalam tahun 2023,” katanya.
RUU belanjawan itu mendapat sokongan pembangkang, Parti Republikan di Kongres sekali gus memastikaan laluan mudah buat Biden. Malah, pengkritik-pengkritik turut menyuarakan pujian kepada keupayaan pentadbiran beliau dalam membuat perubahan ketika pemimpin Parti Demokrat berusia 80 tahun itu semakin hampir untuk membuat keputusan sama ada akan bertanding semula pada tahun 2024.
Belanjawan itu termasuk bantuan kecemasan tentera dan ekonomi berjumlah AS$45 bilion kepada Ukraine yang memerangi pencerobohan sepenuhnya oleh Russia. Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berada di Washington awal bulan ini bagi merayu lebih banyak bantuan AS.
RUU tersebut turut menampilkan ciri-ciri tambahan seperti rombakan undang-undang ketat kurun ke-19 untuk menyatakan secara jelas bahawa Naib Presiden tiada kuasa untuk membatalkan keputusan pilihan raya.
Ini bertujuan menghalang sebarang percaturan Donald Trump untuk mengaku kalah kepada Biden pada pilihan raya Presiden tahun 2020 daripada berulang, termasuk memujuk Naib Presiden, Mike Pence menyekat kemenangan rasmi Biden. – AFP