fbpx

Dunia bimbang penularan Covid-19 di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKERJA memakai sut perlindungan membantu seorang pelancong China yang positif Covid-19 di dewan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Rom-Fiumicino, dekat Rom kelmarin. -- AFP

WASHINGTON – Pemimpin kesihatan Amerika Syarikat (AS) dan dunia bimbang Beijing tidak berkongsi maklumat mencukupi mengenai penularan Covid-19 di China, menyebabkan masyarakat antarabangsa berada dalam kegelapan mengenai skala dan tahap serius gelombang jangkitan semasa di negara berpenduduk paling ramai di dunia itu, lapor saluran berita CNBC kelmarin.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam satu kenyataan Rabu lepas berkata, sikap kurang telus China boleh melewatkan proses identifikasi varian baharu Covid yang mendatangkan ancaman terhadap kesihatan awam.

“China berkongsi sangat sendikit jujukan genomik yang digunakan untuk mengenal pasti varian sedemikian,” kata CDC.

Seorang pegawai kesihatan persekutuan AS dalam satu panggilan telefon bersama wartawan Rabu lepas memberitahu, pentadbiran Presiden Joe Biden memiliki maklumat sangat terhad berhubung bilangan kes baharu Covid-19, kemasukan ke hospital dan terutamanya kematian di China.

Ujian dan laporan kes juga menurun di negara komunis itu, menyebabkan kadar jangkitan sebenar sukar dipastikan, kata pegawai sama

Dasar sifar Covid-19 China yang bertujuan menghapuskan wabak menerusi sekatan ketat, mengakibatkan sebahagian besar populasinya tidak mempunyai imuniti terhadap varian sangat mudah berjangkit, omicron.

Justeru, pentadbiran Biden meramalkan sejumlah besar penduduk China mendapat jangkitan dengan cepat.

“Apa yang kami bimbangkan adalah varian baharu muncul di China. Berikutan begitu ramai orang dijangkiti dalam tempoh begitu singkat di China, terdapat peluang, kemungkinan varian baharu Covid-19 itu muncul,” kata pegawai AS berkenaan yang enggan identitinya didedahkan.

Jujukan genomik terbaharu dikongsi pihak berkuasa kesihatan di China menunjukkan varian Covid-19 yang menular di negara berkenaan adalah serupa dengan varian yang diketahui di seluruh dunia, demikian menurut kenyataan GISAID pada minggu ini.

GISAID merupakan pangkalan data awam beribu pejabat di Jerman.

Sejak 180 hari lalu, China telah melakukan jujukan dan berkongsi 412 kes Covid-19 dengan GISAID, berbanding lebih 576,000 kes yang dikongsikan oleh AS. Pihak berkuasa kesihatan China pula berkongsi kurang daripada 1 peratus kes yang dilaporkan dan jujukan genom Covid-19, manakala AS berkongsi lebih 4 peratus dan Britain lebih 12 peratus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga meminta China untuk berkongsi lebih banyak maklumat tentang apa yang berlaku di lapangan ketika virus Covid-19 terus merebak.

“WHO amat bimbang tentang perkembangan situasi di China yang merekodkan peningkatan penyakit serius,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr.Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu taklimat di Geneva minggu lalu.

Ketua teknikal WHO, Dr. Maria van Kerkhove berkata minggu lalu bahawa subvarian omicron, BA.5, BQ.1, BF.7 dan BA.2.75 kesemuanya sedang menular di China. Selain itu, varian baharu yang paling kebal terhadap imuniti, XBB juga dikesan di China.

Institut Metrik Kesihatan dan Penilaian dalam laporan yang diterbitkan pada 15 Disember lalu menyatakan, gelombang jangkitan besar di China tidak dapat dielakkan selepas Beijing melonggarkan dasar sifar Covidnya.

Bilangan penyakit teruk akibat komplikasi Covid-19 dijangka mencatat angka besar-besaran dalam kalangan populasi warga emas, manakala angka kematian juga dijangka besar, demikian menurut laporan berkenaan.

China berdepan situasi sukar kerana vaksin buatan tempatannya tidak berkesan seperti suntikan mRNA Pzifer dan Moderna. Liputan vaksinasi dalam kalangan populasi warga emas di China juga ketinggalan berbanding negara lain.

“Seorang dalam setiap tujuh penduduk di Bumi menetap di China, manakala pecutan vaksinasi, perlindungan sistem kesihatan pada masa ini, adalah penting buat tujuh dalam setiap tujuh orang di planet ini,” kata Ryan.

AS menawarkan vaksin Covid mRNA dan sokongan lain kepada China tetapi Beijing menolak tawaran tersebut, kata pegawai kesihatan persekutuan AS. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI