Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Sebuah rumah papan satu tingkat di Jalan Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, rumah terbabit hangus 95 peratus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.32 petang.
“Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas tiba di lokasi tidak lama kemudian dan didapati rumah Kelas B setingkat itu sudah hampir musnah.
“Kerja pemadaman dilakukan segera sebelum api berjaya dikawal pada pukul 5.51 petang.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan selain operasi turut dibantu pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bertam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – K ONLINE