PETALING JAYA – Meleraikan pelbagai spekulasi yang tercetus, pelakon Luqman Hafidz akhirnya mengakui sudah sah bercerai dengan isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi pada Jun lalu.
Pelakon Ola Bola itu berkata, harus membuka mulut tentang kisah rumah tangganya bagi menghentikan pelbagai pertanyaan dan khabar angin yang berterbangan sehingga menimbulkan fitnah daripada pelbagai pihak.
“Sudah tiba masa untuk kongsi dan sahkan bahawa saya dan bekas isteri sudah berpisah pada Jun lalu secara baik di mahkamah.
“Kini, fokus kami ialah pada anak. Sementara, fokus saya pula adalah kerja keras bagi mencari rezeki dan sebagai seorang bapa, tanggungjawab ini adalah keutamaan saya,” katanya.
Pelakon berusia 31 tahun itu berharap, pengakuan tersebut juga dapat menghapus semua kekeliruan dan menjawab persoalan ramai mengenai status rumah tangganya.
“Seperti semua sedia maklum, pihak media ada bertanyakan mengenai keadaan dan status rumahtangga saya.
“Saya sedar status saya sebagai anak seni tak lari daripada perhatian masyarakat.
“Justeru, saya tampil memberikan kenyataan ringkas ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau tanda tanya berterusan daripada mana-mana pihak. Semoga tiada lagi spekulasi yang timbul selepas ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, Luqman turut meminta agar diberikan ruang bagi menghormati dan menjaga hati keluarganya serta bekas mentua.
“Harap pihak media dapat memberi ruang dan menghormati keputusan ini bagi menjaga hati keluarga saya serta bekas mentua.
“Saya mohon maaf atas segala kekalutan sebelum ini. dan harap dapat menitipkan doa yang baik,” katanya lagi.
Sebelum ini, status rumah tangganya menjadi bahan bualan ramai apabila timbul desas-desus sudah bercerai.
Luqman mendirikan rumah tangga dengan Nurul Atiqah pada 20 Mac 2020 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Eve Laura pada 6 Februari 2021 yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE