PUTRAJAYA – Individu yang mengalami influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) serta mempunyai sejarah perjalanan ke China atau kontak dengan pengembara dari China dalam tempoh 14 hari perlu menjalani ujian RTK-Ag Covid-19.
Itu antara persiapan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memperkukuh siap siaga negara susulan situasi semasa dan perubahan polisi pengurusan Covid-19 di negara China.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, hasil ujian RTK-Ag Covid-19 itu seterusnya akan dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memperkukuh survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dengan mengambil sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China.
“Sampel air kumbahan itu akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.
“Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA juga akan melalui saringan demam.
“Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula dan jika disyaki Covid-19, ujian Covid-19 akan dijalankan,” kataya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, KKM akan terus bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Zaliha berkata, secara keseluruhannya, trend pelaporan kes Covid-19 berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Menurutnya, buat masa ini, tiada peningkatan mendadak di dalam jumlah kes Covid-19 di dalam negara termasuk kes yang memerlukan kemasukan ke hospital.
“KKM akan mempertingkatkan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia.
“Buat masa ini, ujian lanjut ke atas sampel positif Covid-19 masih menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE